Pusat-Latihan-Perubatan-JAWI

07 September 2008

Satu sahaja Doaku malam ini.

Ramadhan..
hari-hari yang kulalui
tidak terasa detiknya berlalu pergi
cahaya bulan dan matahari
sama sahaja dirasai..

kuntum-kuntum malam
kian mekar mewangi
ditiup angin menghembus ke hati
dan cahaya cinta pun menyala
dikamar dinginku
untuk dirasai kehangatannya
sujud,doa,zikir padamu Ilahi.

tiba-tiba..
kamarku gelap membahang
seribu rasa menerjah di dada
bumiku...
masjidku...
saudaraku..
terkais dalam siksa
berbuka dengan deraian air mata
peluru bagai tabuh di balairaya

ya Ilahi...
satu sahaja doaku malam ini
merdekalah anak-anak bumi ini
dengan kemenangan yang dekat
limpahan keberkatan israk dan mikraj

teman..
kau asyik bertanya
bumi mana lagi
kalau bukan Al-Aqsa yang tercinta.

3 comments:

Hana said...

Ramadhon...
SemiLir ketenangan yang menyembuhkan segaLa Lara,
Membawa sejumput asa yang berharga,
kepada siapapun yang berduka ataupun yang terLampau bahagia...
Ramadhon...
We need your atmosphere to heaL us aLL...

KELANA AKiRA said...

DITEMALI RINDU
Di penghujung malam yang bening ini
bersimpuh munajat di kaki mihrab

Bertandang sejuk resah menyegarkan
mengelus segenap tikungan hati
kadangkala datang melemaskan
menenggelam dendam kasih
dalam kesenyapan laut sunyata

Di penghujung malam ini
muhibah disebalik sejadah pasrah
menali tasbih kasih
melerai rindu yang parah

Perasaan baru singgah di sini
melihat diri dalam jasmani
menatap jasmani dalam rohani
merenung rohani dalam Rabbani
kerana cinta yang suci bajanya uji

Menghirup kebesaran-Mu
kita bersua rasa dibalik jendela rahsia
Engkau bagaikan dekat tidak bersentuh
jauh tidak berantara
menemukan aku dalam aku
menemui diri dalam diri sejati
hanyalah Engkau yang abadi.

renungan Ramadhan
Kelana Akira
419501.MY01
Kuching. Sarawak

........................................

SEBULAN TRIPESTA
Ramadan akan berakhir, apa khabar kualiti puasa?
Puasa makan atau puasa pembaziran
Kenapa kita dibelit dengan peluang perniagaan
Yang cuma setahun sekali
Adakah layak digelar perniagaan atau berjualan?

Pesta Makan Malaysia raya
Hampir setiap masjid juadah berbuka buat musafir
apakah tidak bagaikan mencurah garam di laut?

Di medan Bazaar Ramdan
puasa Malaysia raya
digitari Pesta makan atau pembaziran
Sedangkan di Mekah mengejar ibadah.

Pesta Membeli Belah
Transit antara pesta makan dan hari raya
hilang pertimbangan antara keperluan dan kemahuan
sayembara baju raya, cat rumahm kuih muih
dipenghujung Ramadhan sehingga
seusai lebaran mendongak langit
Pasti ada yang menangis.

Pesta kematian
Berduyun-duyun di jalanraya
Branding OPS Sikap saban tahun sebelum lebaran
tak sabar-sabar nak pulang sekadar
nak menayang kereta sarkis
gelandangan jerayawara lebaran
menyusun nesan di jalan.

Apa khabar warga agama ku
Di Kemboja , di Afghanistan dan di Pelestine
Berselerakah kalian dengan motar dan tembakan
Di sepanjang bulan Ramadan ?

Malaysia raya
Layakkah kita merai kemenangan diSyawal ini?

renungan Ramadhan
Kelana Akira
419501.MY01
Kuching. Sarawak

KELANA AKiRA said...

SUNYATA
Disepertiga malam
terjun ke dalam jeram diri
berkocak riak hati
lumut noda luntur
di batu nafsu
tertanggal sengsara hayat
dicelahnya menghakis cebisan dosa
menghilir sisa noda ke muara sunyata
dimalam al-mubarak ini

Segar aku di kali air-Mu
mengalir makna Engkau
nyata dalam aku ku
inti hakikat ketuhanan
dalam insan

Tiada nyata pada diri ku
hanya diri-Mu
bersembunyi rahsia dibalik rahsia
berselindung dalam terang dibalik nyata.

renungan ramadhan
kelana akira
419501.MY01
Kuching. sarawak