Pusat-Latihan-Perubatan-JAWI

12 June 2009

Ujian.

Benar-benarlah kehidupan itu merupakan ujian pada setiap insan walau dalam bentuk apa jua yang mendatang. Bagi penduduk pulau Langkawi mereka terpaksa berhempas pulas bagi mempertahankan ugama dari terhakis sama seperti terhakisnya Pantai Pasir Hitam dan Tanjung Rhu. Generasi muda pula berhadapan dengan keruntuhan akhlaq yang sangat dahsyat apabila mereka sanggup menjadi pelayan untuk menghidangkan botol-botol arak kepada para pelancong. Surat khabar tabloid turut menyiarkan akhlaq pelajar-pelajar sekolah yang minum arak tanpa segan silu sebagai menyapa arus pembangunan yang sedang melanda.

Pulau Langkawi yang terkenal dengan air gamatnya menjadi ubat bagi luka-luka dalam tubuh tidak boleh menyembuhkan luka dihati orang-orang yang beriman. Sudah tentu penilaian mereka sangat berbeza dengan pandangan ahli ekonomi yang mahukan pulau ini menjadi maju dan tempat tumpuan. Perbezaan pandangan ini kerana bezanya neraca nilai yang dijadikan ukuran. Nilai kemanusian yang berteraskan iman atau nilaian kebendaan tanpa sempadan?

Laungan azan di Masjid Hana Kuah tiba-tiba kedengaran memecahkan lamunan tapi hati tetap bersedih kerana lampu neon dari pub dan pusat hiburan juga satu persatu dinyalakan.

No comments: