Pusat-Latihan-Perubatan-JAWI

24 August 2011

Rezeki dari Allah

REZEKI

Kali ini mari kita merenung serangkai ayat Qur'an yang menceritakan tentang rezeki. Firman Allah SWT :

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا
"......dan tiada satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya" (Surah Hud, ayat 6).

Jaminan rezeki dari Allah SWT pada mahklukNya adalah jaminan yang pasti lagi benar bagi menunjukkan betapa Maha Kaya Allah yang memiliki segala sifat kebesaranNya.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ
"Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan" (Surah Ali Imran, ayat 109).

Selain dari Allah SWT siapa lagi yang boleh mencukupkan sumber rezeki yang tidak pernah putus-putus bagi menyambung kitaran kehidupan di alam ini. Bukan satu atau dua hari tetapi ribuan malah mungkin jutaan tahun. Hanya Dia sahaja yang berhak dan layak untuk menurun dan mengeluarkan segala rezeki dari sumber mana yang dikehendakiNya.

Inilah antara makna "Ilah" yang terkandung di dalam kalimah syahadah iaitu "la ilah haillallah". Dalam permasalahan rezeki, kalimah syahadah ini mengajar kita iktiqad "Tidak ada yang memberi rezeki melainkan Allah". Jika seseorang mengakui bahawa ada makhluk yang memberi selain Allah SWT bererti dia telah beriktikad dengan iktikad yang salah dan boleh membawa kepada syirik.

Majikan atau tempat kita kerja adalah seperti posmen yang menghantar surat kepada seseorang. Bukannya surat itu daripadanya sendiri kerana rezeki yang berada ditangannya itu juga datang dari Allah. Bagaimana jika Allah menahan rezeki kepadanya?

Firman Allah SWT :

أَمَّنْ هَٰذَا الَّذِي يَرْزُقُكُمْ إِنْ أَمْسَكَ رِزْقَهُ ۚ
"Siapakah yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya" (Surah Al-Mulk, ayat 21).

Pada waktu pagi kita dianjurkan membaca doa ini:

اللَّهُمَّ مَا أَصْبَحَ بِي مِنْ نِعْمَةٍ أَوْ بِأَحَدٍ مِنْ خَلْقِكَ فَمِنْكَ وَحْدَكَ ، لا شَرِيكَ لَكَ ، فَلَكَ الْحَمْدُ ، وَلَكَ الشُّكْرُ
"Ya Allah, pada pagi-pagi ini, apa juga nikmat yang ada padaku atau mana-mana makhlukMu, semuanya dariMu. Tiada sekutu bagiMu. Milikmu segala pujian dan terima kasih kami" (Zikir al-Ma'surat. Riwayat Imam an-Nasai dari Abdullah bin Ghannam r.a.).

Ini membawa pengertian supaya akidah tauhid kita dibetulkan sebelum kita memulakan aktiviti mencari rezeki pada awal-awal pagi. Manusia hanyalah makhluk yang sangat lemah sehingga tidak mampu menjadikan sebiji nasi pun di atas bumi ini dan bergantung kepada pohon padi dari ciptaan Allah SWT

Allah SWT menjamin rezeki pada semua mahluk tetapi kenapa ada yang mati kebuluran. Hal ini diterangkan Allah dalam firmanNya :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" (Surah ar-Rum, ayat 41).

Kematian dan kebuluran 26 ribu orang di Euthopia bukti sebuah kebinasaan akibat dari pendurhakaan manusia. Bumi dirosakkan oleh tangan-tangan manusia seperti tubuh badan yang dirosakkan oleh ubatan kimia yang bernama drugs. Tubuh yang dibekalkan dengan sistem imuniti juga hancur akibat dari dadah yang diambilnya pada setiap hari. Inilah sebabnya Allah menurunkan peraturan hidup yang sempurna untuk kesinambungan rezeki dan hidup di dunia ini.

Bagi menyelamat dunia yang kian hancur ini hanya satu sahaja iaitu ugama Allah. Ugama yang perlu ditegakkan sebagai "deenulhayah" untuk kesejahteraan ummat di muka bumi ini jika tidak terimalah padahnya iaitu penderitaan dan kemusnahan.

Perkara kedua dari ayat awal di atas difahami bahawa rezeki itu juga perlu dicari sebagaimana Allah menyatakan dengan kalimah "makhluk bergerak" bukannya hanya menanti yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang. Lihatlah rezeki seekor burung yang terjamin apabila ia keluar dari sarangnya. Kemalasan berikhtiar menjadikan periuk nasi juga kosong bukan kerana tidak ada jaminan dari Allah tetapi kerana ia yang memilih untuk itu.

Ini terkecuali dengan ujian dari Allah yg berupa kekurangan makanan dan buah-buahan seperti firman Allah:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (Surah al-Baqarah, ayat 155).

Ujian adalah hak Allah sama seperti rezeki. Hikmah dari ujian akan menjadikan sesuatu ummat itu bertambah kuat bukannya semakin lemah. Ia tergantung bagaimana sikap yang diambil terhadap ujian yang menimpanya. Jika ujian itu mematikan jiwa dan semangatnya, petandanya Allahlah yang menyempitkan kehidupannya seperti asma' Allah yang bernama "Al Qobidh".

وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
"Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan" (Surah al-Baqarah, ayat 245).

Bangsa-bangsa yang terus "bergerak" telah menguasai dunia dibandingkan dengan bangsa yang suka berpeluk tubuh. Mereka menguasai semua bidang keilmuan di atas pokok perubahan yang dilakukan pada setiap detik. Rezeki itu kuncinya ilmu kerana itulah ia perlu bergerak bagi mencarinya.

Berkata Imam Syafi'ie rhm:

من أراد الدنيا فعليه بالعلم ومن أراد الآخرة فعليه بالعلم
"Sesiapa mengingini dunia, ia memerlukan ilmu. Sesiapa menghendaki akhirat, ia juga memerlukan ilmu".

Nasib itu tidak terletak pada tapak tangan tetapi terletak pada tangan dan kaki. Keluar dari zon statik kepada zon dinamik untuk mengubah nasib yang menimpa diri sendiri.

Firman Allah SWT :

إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (Surah ar-Ra'du, ayat 11).

Soal rezeki terlalu panjang perbahasannya tetapi penutupnya pula adalah pendek lagi ringkas iaitu semuanya rezeki itu adalah datang dari Ar Razaq.

No comments: